PUTRAJAYA – Menu Nasi Kabuli dari Aghanistan di mana nasi dimasak di dalam perut kambing dengan pelbagai rempah ratus menjadi antara menu istimewa disajikan di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside di sini sepanjang Ramadan.
Chef Eksekutifnya, Faizal Ghani berkata, sajian itu berasal dari sebuah bandar di negara berkenaan iaitu Kabul namun ia dimakan kosong tanpa sos di sana.
Namun pihaknya telah menvariasi Nasi Kabuli itu untuk dimakan bersama sos terutup dan acar rampai serta acara nenas bagi memenuhi selera masyarakat negara ini yang gemar makan nasi berbuah.
“Nasi Kabuli menjadi antara menu istimewa bufet Ramadan yang bertemakan Citarasa Serantau oleh semua rangkaian hotel Hilton di Malaysia.
“Nasinya dimasak awal separuh sebelum dimasukan ke dalam perut untuk dibakar bersama dengan pelbagai rempah ratus yang mengambil masa antara sejam hingga ke sejam setengah bergantung saiz kambing itu.
“Bagi memenui selera masyarakat kita, kami menampilkan Nasi Kabuli bersama sos terutup bersama acar rampai dan nenas,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Faizal menambah, tema Citarasa Serantau bukan sahaja mengetengahkan menu kegemaran tempatan tetapi juga dari negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand bagi menonjol Malaysia sebagai pusat kepelbagaian makanan di Asia.
Jelas beliau, di Hilton, Makan Kitchen menampilkan pelbagai hidangan istimewa menerusi giliran mingguan dalam memberi kesegaran kepada pengunjung agar merasai menu yang pelbagai.
“Antara menu lain adalah Kambing Khurasan, Ayam Shawarma, Ayam Bakar Tempayan, Gulai Tunjang Jering, Ketupat Sotong, Telur Masin Sumbat Kuah Lemak Putih, Itik Salai Rendang Cili Api dan banyak lagi.
“Para tetamu juga akan menikmati geraiyang menampilkan menu istimewa Ramadan seperti Rempeyek Bunga Telang Kacang Tanah Ikan Bilis, Tumpi Kacang Hijau, Tapai Ubi Goreng Aiskrim Vanila dan Serawa Durian Pulut Lemak.
“Hidangan istimewa ini bukan sahaja menjadi kegemaran orang ramai tetapi telah disusun dengan teliti untuk membawa keunikan dan kesegaran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside, Ian Barrow berkata, Ramadan adalah bulan untuk muhasabah, melakukan pembaharuan dan berkumpul bersama orang tersayang.
“Justeru hotel kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan menarik Ramadan dengan menawarkan pengalaman menjamu selera yang istimewa,” katanya yang mengalu-alukan orang ramai melayari www.eatdrinkhilton.com untuk maklumat lanjut.
Bagi yang ingin menjamu selera di Makan Kitchen, pengunjung boleh menikmati Bufet Ramadan Citarasa Serantau dengan RM188bagi setiap orang dewasa dan RM 94 bersih bagi setiap kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun dan kanak-kanak di bawah lima tahun adalah percuma.
Selain Makan Kitchen, pengunjung juga mempunyai pilihan untuk menjamu selera di udara terbuka di Temenggor di mana bufet Ramadan ini erlangsung sehingga 21 April ini. – MalaysiaGazette