Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika merasmikan Persidangan MyMudah 2023 Peringkat Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pahang mencatat rekod sebagai negeri pertama yang berjaya mendaftarkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan MyMudah yang telah diperkenalkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Tindakan kerajaan negeri yang mengambil langkah menubuhkan Unit MyMudah yang pertama bagi Wilayah Pantai Timur turut dipuji Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Syabas dan tahniah juga di atas kejayaan melaksanakan projek MyMudah seperti inisiatif F8 bagi menambah baik urusan pembinaan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan isu berkaitan penginapan sementara pekerja asing oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH),” katanya.

Jelas Mohd Zuki lagi, menerusi platform MyMudah,  kecekapan penyampaian peraturan oleh jentera kerajaan negeri dapat ditingkatkan.

Namun, jelasnya, cabaran untuk memudahkan peraturan bukan sahaja bergantung kepada kerajaan tetapi memerlukan kolaborasi dengan sektor swasta dalam memberi input dan cadangan bagi penambahbaikan perkhidmatan.

“Ia kerana perubahan teknologi dan model perniagaan yang baru telah mengubah landskap peraturan.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk pendekatan kawalan dan penguatkuasaan yang lebih moden dan berbeza seperti pendekatan berdasarkan keberhasilan, ujikaji peraturan, kawalan kendiri dan lain-lain amalan baik peraturan,” katanya lagi.

Jelasnya, bagi menjayakan inisiatif terbabit, peningkatan kapasiti kakitangan kerajaan adalah sangat penting.

Justeru, MPC selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab memacu inisiatif MyMudah dan mempunyai kepakaran dalam Amalan Baik Peraturan (GRP), akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Pahang untuk membangunkan kapasiti dalam melaksanakan inisiatif ini dengan menggunakan kaedah peraturan baharu dan berkesan.

Mohd Zuki berkata, kerajaan di dalam Belanjawan Madani 2023 telah memberikan komitmen yang jelas dalam tekad  memastikan kejayaan inisiatif mempermudah persekitaran perniagaan.

Bagi peringkat negeri, inisiatif MyMudah, katanya, bertujuan untuk memudahkan urusan perniagaan agar dapat memberi kelebihan dalam menarik lebih banyak pelabur ke dalam negeri.

“Dengan memudahkan urusan perniagaan, pertumbuhan ekonomi tempatan akan dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama, peluang pekerjaan akan diwujudkan bagi anak tempatan.

“Oleh itu, inisiatif ini boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di peringkat negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Persidangn MyMudah 2023 Peringkat Negeri Pahang  di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman dan Pengarah Pembangunan Negeri, Datuk Zulkifli Yaacob.

Untuk rekod, MyMudah diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 21 Julai 2020 merupakan sebahagian usaha untuk mengurangkan cabaran kesan ekonomi susulan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast