Gambar hiasan

GOMBAK – Polis mempergiatkan usaha memburu sekumpulan individu yang bermain mercun dengan menyasarkan ke arah sebuah rumah sehingga mengakibatkan dua inidividu tercedera di Kampung Changkat di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad berkata, pada Jumaat lalu, pihaknya telah terkesan satu posting TikTok berkaitan insiden itu yang tular bertajuk “Mercun attack rumah”.

“Dalam video tersebut juga memaparkan seorang individu telah mengalami kecederaan di belakang telinga dan seorang individu lagi mengalami kecederaan di bahagian paha sebelah kiri.

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati, kejadian berlaku pada 31 Mac yang lalu jam lebih kurang pukul 12.05 tengah malam.

“Semasa pengadu satu wanita warga Indonesia berumur 27 tahun berada di rumah terdapat sekumpulan individu bermain mercun menghala ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah Noor Ariffin, kejadian itu telah menyebabkan seorang wanita berumur 24 tahun cedera di paha manakala seorang lelaki remaja berumur 19 tahun cedera di belakang telinga.

Rentetan  itu, usaha untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu masih giat diteruskan.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 435/324 KK iaitu (Kianat Dengan Api atau Benda Letupan sehingga mendatangkan kecederaan. – MalaysiaGazette