Anglo-Amerika
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Serangan ganas rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa yang sering berlaku pada bulan Ramadan akan terus berulang selagi pemimpin-pemimpin Arab tunduk kepada kuasa Anglo-Amerika.

Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, apa yang berlaku di masjid ketiga paling suci dalam Islam itu baru-baru ini adalah siaran ulangan.

Menurut beliau, yang menjadi masalah adalah sikap umat Islam khususnya negara-negara Arab yang pro-Amerika dan Britain.

“Mereka sanggup membiayai dana berbilion dolar kepada kumpulan militan Al-Qaeda dan Daesh untuk menjatuhkan rejim sesama negara Arab seperti yang berlaku di Syria, Iraq, Iran dan Yaman.

“Mereka boleh duduk bermesyuarat bagi merancang serangan terhadap rakyat Yaman sehingga hancur negara tersebut.

“Tetapi mereka langsung tidak boleh membiayai perjuangan untuk menghadapi kezaliman Israel yang menindas dan menzalimi rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, serangan terbaharu rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera manakala lebih 400 orang ditahan.

Menurut saksi, polis rejim Zionis menggunakan kekerasan melampau termasuk bom tangan pegun dan gas pemedih mata serta memukul rakyat Palestin yang beribadat dengan baton dan rifel.

Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan itu menambah, ia adalah amat memalukan apabila rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan di Eropah yang diketuai oleh mereka yang bukan beragama Islam lebih lantang dan agresif menentang kekejaman Israel.

“Inilah nasib yang menimpa umat Islam dan umat Arab. Apabila pemimpin-pemimpin mereka masih tunduk kepada Anglo-Amerika, mereka sesekali tidak akan membantu perjuangan pembebasan Palestin.

“Walau bagaimanapun, umat Islam dan umat Arab serta seluruh manusia yang cintakan keadilan akan terus menyokong perjuangan Palestin daripada kekejaman rejim Israel yang dibentuk dan disokong oleh Eropah,” jelasnya.

Beliau yakin bahawa Eropah yang menjadi sumber kekuatan kepada Israel hari ini semakin melemah dengan perubahan dunia kepada kuasa Timur.

“Sekali gus nasib Israel akan semakin lemah dan akan terhapus tidak lama lagi.

“Begitu juga dengan rejim-rejim Arab yang pro-Anglo Amerika akan berhadapan dengan masalah di masa akan datang apabila kuasa penaung mereka semakin lemah,” katanya. – MalaysiaGazette