Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pagi ini di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah serta kegiatan memburu saham berharga murah yang berterusan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.43 mata kepada 1,428.47 daripada 1,427.04 pada penutup Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 0.85 mata lebih tinggi pada 1,427.89.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 137 berbalas 119, manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,712 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 162.62 juta unit bernilai RM54.07 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng percaya keadaan pasaran akan kekal positif, disokong antaranya oleh kemunculan semula pembelian asing dan ekonomi tempatan yang bertambah baik.

“Justeru, kami berpendapat kegiatan memburu saham murah akan diteruskan dengan indeks berlegar antara 1,425 dan 1,440 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata minyak mentah Brent kekal tinggi melebihi US$81 setong dan sehubungan itu mengunjurkan kegiatan pengumpulan membabitkan saham minyak dan gas akan berlanjutan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM8.69, CIMB meningkat dua sen untuk mencatatkan harga RM5.18, Public Bank menokok satu sen kepada RM4 manakala Petronas Chemicals susut 13 sen menjadi RM7.37 dan TNB lemah lima sen kepada RM9. 18.

Bagi saham aktif, Salutica mengembang 7.5 sen kepada 63 sen dan Careplus meraih setengah sen kepada 36 sen manakala Techna-X, Jade Marvel dan Tanco turun setengah sen setiap satu kepada 1.5 sen, 31 sen dan 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 5.81 mata kepada 10,484.25, Indeks FBMT 100 memperoleh 9.68 mata kepada 10,170.72 dan Indeks FBM 70 meningkat 29.55 mata kepada 13,668.29.

Sementara itu, Indeks FBM ACE turun 4.72 mata kepada 5,321.96 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 2.53 mata kepada 10,820.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.71 mata kepada 15,737.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.66 mata menjadi 174.09 dan Indeks Perladangan memperoleh 28.18 mata kepada 6,759.85 manakala Indeks Tenaga berkurangan 0.45 mata kepada 863.06. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast