BMW terbakar semasa diturunkan dari lori hadapan galeri jualan kenderaan mewah di Eco Ara Damansara tengah malam tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat buah kereta BMW musnah dalam kebakaran di Taman Eco Ara Damansara, Petaling Jaya awal pagi tadi.

Insiden berlaku ketika kereta terbabit sedang diturunkan dari lori di hadapan sebuah ruang pameran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kebakaran kenderaan pada kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

“Bertindak atas panggilan itu sepasukan sembilan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya bergegas ke lokasi.

“Selepas tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah BMW X5 baharu serta dua BMW 5 Series dan sebuah BMW 7 Series terpakai yang sedang terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kebakaran menyebabkan dua daripada kenderaan itu musnah 70 peratus, manakala dua lagi musnah 100 peratus.

“Anggota bomba telah terlibat dalam kerja memadam kebakaran kenderaan itu yang telah mengambil masa kira-kira hampir setengah jam sebelum api dapat dipadamkan dan keadaan dikawal sepenuhnya pada 1.10 pagi tadi.

“Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan lagi dan jumlah kerugian masih dalam siasatan sementara kejadian sudah dimaklumkan kepada pihak polis dari Subang untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette