amran
Mohd. Na'im Mokhtar menyerahkan watikan pelantikan Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM kepada Mohd. Amran Mat Zain (kanan) pada Majlis Iftar Jamaie Persatuan Pegawai Syariah Malaysia bersama anak-anak yatim di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Datuk Mohd. Amran Mat Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu mulai hari ini.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar pada Majlis Iftar Jamaie Persatuan Pegawai Syariah Malaysia bersama anak-anak yatim di sini hari ini.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Mohd. Na’im dan dikosongkan selepas beliau dilantik sebagai Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Berpandukan kepada pengalaman luas serta kelayakan yang dimiliki, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin dengan kewibawaan beliau untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengucapkan tahniah dan berharap Mohd. Amran dapat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan selepas pengumuman tersebut.

Amran
Mohd. Na’im Mokhtar menyampaikan sumbangan kepada seorang kanak-kanak pada Majlis Iftar Jamaie Persatuan Pegawai Syariah Malaysia bersama anak-anak yatim di Putrajaya, hari ini.

Mohd. Amran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang LLM dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pada masa yang sama, beliau turut memiliki Diploma Lepasan Ijazah (Pentadbiran dan Perundangan Islam) dari UIAM.

Mohd. Amran mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah dan mula menyertai perkhidmatan awam sejak 1994.

Memulakan tugas sebagai Pegawai Syariah di Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan, selain pernah bertugas sebagai Pendaftar di JKSM dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sebelum ini, beliau juga telah diberikan amanah sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ketua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Jawatan terakhir beliau di JKSM adalah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Sepanjang perkhidmatan, beliau turut pernah mengikuti kursus jangka pendek di The Muslim College of London. – MalaysiaGazette