KUALA LUMPUR – UMNO menafikan wujudnya desakan politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkemungkinan berada dalam Lembaga Pengampunan Diraja bagi permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, sebaliknya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri berbuat demikian kerana mahu menghalang pengampunan itu berlaku.
“Tidak wujud konflik kepentingan pada memorandum UMNO. Keputusan akhir adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.
“Sebenarnya tuduhan Muhyiddin itulah tekanan politik untuk menghalang pengampunan Diraja,” katanya yang dimuatnaik di akaun Facebooknya, hari ini.
Semalam, Muhyiddin mendakwa UMNO menggunakan desakan politik dalam usaha mendapatkan pengampunan Diraja untuk bekas presidennya yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara di Penjara Kajang.
Dalam pada itu, Puad mengingatkan bahawa Muhyiddin pernah bersekongkol dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melakukan pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih terhadap Najib, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin UMNO lain.
“Mereka melakukan tekanan politik untuk musnahkan UMNO. Ia adalah konspirasi tertinggi melibatkan kontroversi pelantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.
“Sebab itu Najib dinafikan hak perbicaraan adil seperti yang dirumuskan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, tindakan UMNO bukan tekanan politik tetapi solidariti politik yang menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Muhyiddin tahu YDPA tidak tunduk pada tekanan politik. Muhyiddin yang guna tekanan politik untuk sambung tempoh darurat dan gantung Parlimen, tetapi ia gagal dan ditolak.
“Muhyiddin juga beri tekanan politik kononnya beliau cukup nombor untuk tubuh kerajaan selepas PRU15. Dia tolak Kerajaan Perpaduan, tetapi YDPA lebih bijaksana dan tidak tunduk kepada tekanan politik,” katanya. – MalaysiaGazette