KUALA LUMPUR – Kesemua Agensi Negeri di Pahang termasuk Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan Unit MyMudah yang dikendali Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai satu komitmen dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan bagi menarik pelaburan, merancakkan perdagangan dan melonjak pertumbuhan produktiviti negara.
Kerajaan Negeri Pahang bersedia untuk bertindak balas dengan cepat dalam memberikan sokongan mudah cara perniagaan dalam kadar segera.
Penubuhan Unit MyMudah serta pelaksanaan inisiatif-inisiatif penambahbaikan berteraskan kerjasama awam-swasta dilaksanakan melalui kerjasama erat bersama MPC selaku Agensi Peneraju MyMudah di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan persatuan perniagaan.
Persidangan MyMudah 2023 peringkat Negeri Pahang menyaksikan Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan urusan menjalankan perniagaan di Negeri Pahang adalah mudah dengan disokong dasar pro-perniagaan.
Persidangan ini dirasmikan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara melibatkan 300 penyertaan daripada kerajaan negeri, PBT, Kerajaan
Persekutuan serta persatuan perniagaan. – MalaysiaGazette