Rafizi dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Proses permohonan visa pekerja mahir dipendekkan kepada lima hari bermula Jun tahun ini berbanding tempoh semasa selama 87 hari.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, permohonan berkenaan terpakai bagi permohonan visa baharu dan pembaharuan.

“Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menyasarkan untuk memendekkan proses ini kerana ia salah satu batu halangan dan juga birokrasi terutama untuk pelabur-pelabur yang nak masuk ke Malaysia,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PEMUDAH hari ini.

Proses berkenaan akan digabungkan kepada dua peringkat bagi memendekkan tempoh permohonan, katanya.

“Akan terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu kumpulan mempunyai rekod yang baik dan menunjukkan pematuhan baik sekaligus mempunyai rekod penggajian pekerja asing yang lama.

“Kumpulan ini akan layak untuk melalui proses permohonan yang dipercepat dan ambil masa lima hari daripada proses sekarang iaitu 87 hari,” tambahnya.

Jelas Rafizi, birokrasi yang melibatkan banyak jawatankuasa menjadi punca tempoh permohonan yang diguna pakai mencecah 87 hari.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan akan menambah baik sistem sedia ada untuk membantu mempercepatkan permohonan visa pekerja mahir.

Selain itu, Rafizi berkata, mesyuarat PEMUDAH yang kedua hari ini turut bersetuju memendekkan dan menyeragamkan tempoh permohonan kebenaran merancang yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menyasarkan untuk memendekkan permohonan berkenaan kepada sekurang-kurangnya 70 hari.

“Kita harap ini boleh wujudkan persaingan sihat kepada perniagaan juga untuk mencetuskan kecekapan dalam perkhidmatan merancang,” menurut Rafizi.

Terdahulu, katanya, tempoh permohonan kebenaran merancang yang terkini di seluruh PBT semua negeri di antara 150 hingga 200 hari.

“Setakat ini hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Citty Hall sahaja yang cepat urusan permohonan dalam 58 hari,” tambah beliau.

Sementara itu, Rafizi berkata, turut dibincangkan hari ini, rancangan kerajaan untuk melaksanakn projek rintis yang dikenali sebagai Akademi Dalam Industri.

Menurutnya, program berkenaan akan memberi peluang industri pelbagai bidang untuk melatih pekerja berkemahiran dalam masa yang sama menentukan sendiri modul latihan yang sesuai.

Rafizi berkata, sebagai permulaan sebanyak 10 syarikat besar akan dilibatkan dalam program berkenaan.

“Kerajaan juga akan memberikan insentif tertentu untuk memudahkan tenaga kerja terutama dari luar kawasan selain memastikan pensijilan dan mobilisasi kerja dalam industri tertentu,” katanya lagi.

Beliau menganggarkan seramai 100,000 tenaga pekerja berkemahiran akan terlibat dalam program bertaraf nasional itu kelak dan disertai oleh sekurang-kurangnya 10,000 syarikat pelbagai bidang. – MalaysiaGazette