Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menunjukkan antara barang yang dirampas daripada lima suspek samun dan pecah kedai serta curi kenderaan di sekitar klang Mac lalu.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Baru tiga bulan selesai menjalani hukuman penjara, seorang lelaki diberkas polis dalam serbuan yang dilakukan pasukan keselamatan itu kerana disyaki melakukan jenayah samun dan pecah kedai di Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan bersama empat individu dalam serbuan yang dilakukan di Taman Sentosa dan Taman Selatan, Klang Selangor pada 30 Mac lalu.

Katanya, polis telah menerima laporan daripada seorang pemilik kedai perkakasan pada 26 Mac lalu yang mendakwa kedainya di Kampung Jawa telah disamun.

“Mangsa membuat laporan polis itu selepas semakan kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan lelaki telah memecah masuk kedainya menerusi pintu sisi.

“Dalam kejadian samun yang berlaku antara 4 hingga 4.30 pagi itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM20,000.

“Siasatan mendapati salah seorang suspek dipercayai baru keluar dari penjara pada Januari lalu dan dikesan mempunyai sebanyak 55 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah dan dia juga merupakan dalang di sebalik kesemua jenayah samun dan pecah kedai itu.

“Hasil semakan mendapat empat lagi suspek, masing-masing mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah dan telah direkrut dalang utama untuk terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya sambil menambah suspek berusia antara 37 hingga 55 tahun pada sidang sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Hoong Fong, semua suspek didapati terlibat dalamĀ  jenayah pecah masuk kedai dan kilang selain mencuri kereta dan motosikal serta menyamun di sekitar daerah Klang.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, polis merampas tiga buah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan aktiviti jenayah itu.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 14 kes jenayah di daerah Klang Selatan, empat kes di Klang Utara dan satu kes di Shah Alam.

Hong Foong berkata, pihaknya sedang menjejaki beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah kumpulan tersebut.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette