Azman Kang Abdullah

KUALA LUMPUR – Tindakan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium di Kepong dekat sini yang mengenakan kadar faedah 10 peratus untuk bayaran utiliti tertunggak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.

Ini kerana mereka sepatutnya tidak dibebankan dengan kadar tidak masuk akal berkenaan sedangkan insiatif untuk melangsaikannya sudah pun dibuat sebelum ini.

Mendedahkan perkara itu, aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kewujudan JMB yang mengenakan caj berkenaan sebagai denda kepada penduduk kerana gagal melunaskan bayaran.

Katanya, isu itu amat dikesali kerana pengurusan sepatutnya menerima bayaran yang dibuat penduduk bukannya mengenakan denda secara ikut suka hati.

“Tunggakan berlaku apabila seseorang lewat membuat bayaran tetapi jika bayaran hendak dibuat, mana-mana pengurusan tidak boleh mengenakan caj.

“Katakan tunggakan RM1,500, kalau 10 peratus bermakna RM150 dikenakan. Ini tidak adil kerana bukanlah penduduk langsung tidak mahu bayar.

“Undang-undang mana pula membenarkan mereka ini menetapkan kadar sesuka hati. Jadi, pihak berwajib perlu melihat isu ini kerana ia mungkin membabitkan perumahan lain juga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Azman Kang, setakat ini, beberapa aduan diterima berhubung isu berkenaan yang disifatkan sebagai dicipta oleh pihak JMB terbabit untuk mengaut untung atas angin.

Katanya, peranan JMB sepatutnya lebih tertumpu kepada membantu penduduk bukannya menyusahkan mereka apatah lagi ketika musim perayaan ini.

“Saya cadangkan kepada penduduk supaya membuat laporan polis jika mendapati sesuatu yang mencurigakan. Setiap tindakan mesti berlandaskan undang-undang dan kita perlu pastikan semua pihak mendapat hak sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette