KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,059,675.25 antara 2014 hingga 2017.
Azlan, 65, yang berdepan dengan lima pertuduhan itu menerima hasil daripada aktiviti penggubahan wang haram menggunakan empat cek bank tempatan dan satu serahan wang secara tunai.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Menurut kertas pertuduhan, Azlan menerima empat keping cek masing-masing bernilai RM208,339.90; RM196,651; RM224,404.40 dan RM222,811.95 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. pada 19 Februari 2014, 9 Februari 2015, 2 Februari 2016 dan 3 April 2017.
Manakala serahan wang tunai yang berjumlah RM207,468.00 diterima Azlan daripada seorang individu mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. pada Disember 2017.
Kesemua kesalahan itu dilakukan Azlan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan, Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperialis, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Kesalahan itu didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.
Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 9 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Isnin lalu, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar di Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta. – MalaysiaGazette
Duit Rasuah Menyamun Welanon berpisah tiada bagai darah dan jantung.
Perlis Negeri ciput segemgam tapi Welanon Menyamun bagai Negeri Perindustrian Mutiara.
itukah PSI atau KPI Melaka merebut paksa?
kalau Pokcik Puad yang Komen mahu dikatanya itu “tidak terkejut” kerana “SEMESTINYA” masuk Pokcik Puad masuk dalam FB hahaha