KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Majlis Iftar PPZ-MAIWP Bersama Media di Hotel Seri Pacific, di sini, semalam.

Menurut Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

“Dianggap sebagai pengantara, PPZ-MAIWP sangat menghargai peranan media sebagai salah satu saluran hebahan mengenai ibadah zakat kepada masyarakat Islam.

“Kami tidak mampu berdakwah sendiri tanpa pertolongan rakan-rakan media. Setiap tulisan dan hebahan yang dilakukan secara tidak langsung telah memberi impak kepada peningkatan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan”, katanya pada majlis Iftar PPZ-MAIWP Bersama Media.

Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman serta wakil-wakil daripada sembilan media.

Antara media yang hadir pada majlis tersebut ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Media Prima Berhad, Astro, Malaysia Gazette, Star Media Group dan Awesome TV.

Penganjuran majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan PPZ-MAIWP kepada pengamal media yang telah banyak membantu dalam menyebarluaskan dakwah zakat kepada masyarakat.

Sementara itu, menurut satu kenyataan, melalui dana pemegang wakalah, pada hari ini, seramai 400 kakitangan pengamal media yang kurang berkemampuan menerima sumbangan bernilai RM200 setiap seorang manakala lapan badan kebajikan media menerima sumbangan bernilai RM5,000. Jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM120,000.

PPZ-MAIWP berharap hubungan baİk inİ dapat diteruskan hingga ke masa hadapan agar kesedaran menunaikan zakat dan wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia terus meningkat.

Para pengamal media juga diseru untuk menguar-uarkan maklumat asnaf yang dikenalpasti di Wilayah Persekutuan kepada pihak MAIWP agar dapat disantuni memandangkan agensi tersebut yang mengagihkan zakat.

PPZ-MAIWP adalah agensi untuk mengutip zakat dan wakaf, manakala urusan agihan diuruskan oleh MAIWP.

Namun demikian, bagi menghargai pihak media, PPZ-MAIWP menerusi dana pemegang wakalah turut memberi beberapa sumbangan kepada kakitangan dan badan kebajikan media semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast