Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut melantik Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri.

Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO negeri itu semalam, selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lepas.

Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan iaitu UMNO Selangor akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan Malaysia dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.

Menurut kenyataan itu, UMNO Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan Kerajaan Negeri.

Selain itu UMNO Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan memulakan gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi-kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Selangor.

Mesyuarat tersebut juga menyatakan bahawa  UMNO Selangor sebulat suara bersetuju dan telah menandatangani memorandum untuk memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak berjasa kepada negara. – Bernama