Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini sejajar dengan prestasi lemah semalaman Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.07 mata kepada 1,433.67 daripada penutupan semalam pada 1,434.74.

Indeks utama memulakan dagangan pada paras 1,433.87, turun 0.87 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 123 berbanding 114, manakala 224 kaunter tidak berubah, 1,814 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 190.80 juta unit bernilai RM61.97 juta.

Semalam, Biro Statistik Buruh Amerika Syarikat (AS) melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS susut kepada lima peratus tahun ke tahun pada bulan Mac daripada enam peratus pada Februari — di bawah jangkaan pasaran iaitu 5.2 peratus dan merupakan angka terendah yang dicatatkan sejak Mei 2021.

Bagaimanapun, CPI teras kekal melebihi kadar sasaran purata dua peratus tahunan Rizab Persekutuan AS.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, walaupun data inflasi AS lebih perlahan daripada jangkaan, sentimen berhati-hati mungkin berterusan apabila minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mencadangkan risiko kemelesetan yang meningkat dalam ekonomi AS.

“Pada masa yang sama, kami percaya aktiviti pengambilan untung selanjutnya dijangka muncul di pasaran serantau dan bursa tempatan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank turun satu sen kepada RM4.01, Petronas Chemicals susut dua sen untuk mencatatkan harga RM7.37 dan Maybank tidak berubah pada RM8.70, manakala CIMB naik satu sen kepada RM5.25 dan Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM9.05.

Bagi saham aktif, MN Holdings turun setengah sen kepada 33.5 sen, Hong Seng dan Revenue Group tidak berubah, masing-masing pada 13 sen dan 33 sen, manakala Salutica naik 5.5 sen kepada 82 sen dan Jade Marvel meningkat satu sen kepada 31 sen .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 2.97 mata kepada 10,552.99, Indeks FBMT 100 kerugian 3.37 mata kepada 10,231.21 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 6.29 mata kepada 10,896.68.

Sementara itu, Indeks FBM ACE mengembang 18.0 mata pada 5,326.90 dan indeks FBM 70 meningkat 13.08 mata kepada 13,827.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.88 mata kepada 15,794.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.46 mata kepada 174.75 manakala Indeks Tenaga meningkat 5.76 mata kepada 888.32 dan Indeks Perladangan mengembang 2.85 mata kepada  6,860.82. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast