PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghargai sumbangan petugas-petugas sokongan yang berkhidmat di kementerian itu menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sebagai sebahagian dari pasukan besar di KPKT, pihaknya memahami tuntutan kewangan yang dihadapi dalam menyediakan kelengkapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Oleh itu, saya bersama barisan pengurusan tertinggi bersetuju membantu sedikit-sebanyak dalam urusan tuan-puan, kakitangan gred 14 dan ke bawah, untuk persediaan menyambut Hari Raya yang bakal menjelang.
“Saya telah berusaha untuk menyediakan Bakul Rahmah, sumbangan khas barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, gula dan sebagainya yang bernilai RM100.
“Antara bantuan yang diterima adalah sumbangan Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir iaitu wang tunai RM100 dan sumbangan raya berbentuk tunai sebanyak RM100 oleh Kelab Sukan dan Kebajikan KPKT (KESKEP).
“Jumlah bantuan yang bakal tuan-puan terima pada hari ini adalah RM300, iaitu tunai sebanyak RM200 dan barangan asas bernilai RM100.
“Inilah sumbangan kecil daripada kami, kiranya dapat membantu tuan-puan pada akhir Ramadan ini “ katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kasih Ramadan KPKP 2023 & Penyampaian Sumbangan Kepada Petugas Sokongan Sempena
Program Semarak Ihya’ Ramadan KPT, di sini, hari ini.
Kor Ming menambah, pihaknya tidak melupakan petugas-petugas sokongan yang banyak berjasa kepada KPKT.
Jelas beliau, sumbangan itu juga diberikan kepada petugas-petugas RELA dan operator-operator pembersihan yang berkhidmat di bangunan ini.
“Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia lagi penuh berkat ini sama-samalah kita mengucap syukur ke hadarat ilahi atas segala nikmat yang dikurniakan.
“Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu pada waktu ini, amalan bersyukur akan memberi kita ketenteraman.
“Sekiranya kita merasa susah, ingatlah ada yang lebih susah dari kita.
“Sekiranya kita merasa sempit ingatlah ada lagi yang lebih terhimpit hidupnya,” katanya. – MalaysiaGazette