Zaiton (tengah) menyantuni Persatuan Orang Kurang Upaya Pekak dalam penyediaan bubur lambuk.

MUAR – Tradisi berkongsi rezeki di bulan Ramadan diteruskan Persatuan Orang Kurang Upaya Pekak Johor dengan mengagihkan 200 pek bubur lambuk di sekitar daerah itu.

Penasihatnya, Zaiton Ismail berkata, selain pemberian bubur lambuk dari golongan istimewa itu, mereka turut menyediakan 200 bungkus dodol untuk dijual kepada orang ramai yang berminat.

Katanya, 20 ahli OKU pekak bisu melibatkan diri dalam aktiviti julung kali yang diadakan itu.

“Satu bungkus kita jual RM11 manakala kalau sekilo kita jual RM22. Alhamdulillah nampaknya OKU juga tidak ketinggalan menyumbang kepada masyarakat kampung  dan program ini diadakan di Kampung Parit Raja Abdul Rahman, Muar.

“Saya sebagai penasihat bersyukur kerana mereka (OKU) juga tahu menyumbang  bubur lambuk kepada masyarakat. Jadi saya harapkan orang ramai bantulah  kepada mereka yang OKU yang sentiasa aktif dalam daerah Muar yang tidak ketinggalan melakukan pelbagai program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyediaan bubur lambuk oleh Persatuan OKU Pekak Johor di  Parit Raja Abdul Rahman Muar hari ini.

Jelas Zaiton, beliau percaya rezeki yang dikongsi ini membawa kebaikan kepada semua pihak lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Dalam pada itu penganjuran seumpama ini juga diyakini bagi menyokong komuniti kurang bernasib baik terutama golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya percaya ianya secara tidak langsung membantu OKU menceburi bidang keusahawanan, membuka perniagaan dan menjadikan ekonomi mereka lebih bebas dan terangkum kewangan,” jelasnya.

Di Johor kira-kira 200 ahli Persatuan OKU Pekak mendaftarkan diri dalam persatuan itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast