Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan atas dakwaan wujud konspirasi melibatkan kepimpinan tertinggi negara terhadap kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mengulangi dakwaan wujudnya konspirasi politik membabitkan kepimpinan tertinggi negara berhubung kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut meluahkan rasa hairan apabila pimpinan Pakatan Harapan (PH) seakan-akan kunci mulut terhadap kes yang membabitkan  Presiden UMNO itu.

“Ada satu konspirasi politik yang sedang dilakukan oleh kepimpinan tertinggi negara dalam kes Zahid Hamidi. Saya nak tanya kepada rakan-rakan saya dalam PH, di mana suara anda dalam isu ini? Kenapa kamu berdiam diri dalam hal ini?

“Prinsip perjuangan PH juga sama seperti kami (Perikatan Nasional) iaitu mendaulatkan undang-undang, tapi malang apabila mereka bersama kerajaan hari ini, tiada seorang pun berani bercakap benar,” dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan mengenai perkara itu, di sini, hari ini.

Laporan itu bagi meminta pihak berkuasa menyiasat tujuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat semakan semula terhadap kes Ahmad Zahid.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengandungi fakta dan bukti baharu.

Ia membabitkan usahanya untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini di peringkat pembelaan.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal juga menyoal dalang di sebalik tindakan pendakwa raya yang seakan-akan diarah oleh satu pihak tertinggi negara untuk tidak membantah semakan semula tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap SPRM dan AGC dapat memberi penjelasan terhadap tindakan yang dibuat kerana ia boleh memberi mesej buruk kepada rakyat. – MalaysiaGazette