KUALA LUMPUR – Firma infrastruktur digital global, DigitalBridge dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion terutamanya dalam sektor infrastruktur di Malaysia pada penghujung tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menurut kertas putih oleh Knight Frank, pertumbuhan infrastruktur digital di Malaysia adalah yang terpantas.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pusat-pusat data merekodkan 113 megaWatt hanya pada tahun lalu atau empat kali ganda melebihi Thailand.
“Saya akan terus komited dan menekankan kepentingan dalam memastikan ekosistem yang bersih dan kondusif bagi memudah cara sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini sebagai sebahagian dari usaha dan upaya kita memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Anwar mengulas tentang pertemuannya dengan wakil syarikat berkenaan baru-baru ini.
DigitalBridge adalah firma infrastruktur digital global yang melabur dalam pusat-pusat pengkalan data, menara-menara telekomunikasi dan gentian optik. – MalaysiaGazette