Reezal Merican (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim serta asnaf di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Keserasian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tonggak dalam Kerajaan Perpaduan akan diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keserasian itu akan dibawa dalam bentuk formula agar kerjasama yang terbina di Kerajaan Pusat akan diteruskan di peringkat bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

“PRN kali ini bukan hanya tertumpu kepada UMNO dan BN semata-mata, tetapi keserasian antara rakan komponen baharu turut memainkan peranan utama.

Reezal Merican.

“Kalau berada dalam keadaan tidak serasi, tempang mana mungkin kita nak bagi jaminan kepada rakyat bahawa pembelaan dapat dilakukan dengan baik.

“Kita tak nak pusat kata lain, negeri kata lain. Jadi kita nak pasti semua gerak kerja selari dalam menghadapi PRN kali ini memandangkan pola pengundian kini tidak sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Reezal Merican menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang keperluan asas kepada 450 individu yang terdiri daripada warga emas, anak yatim serta asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, persiapan UMNO dalam menghadapi PRN sudah mencapai 80 peratus setakat ini.

“Ini kesimpulan saya berdasarkan pertemuan dengan enam buah negeri yang akan hadapi PRN nanti,” ujar beliau.

Reezal Merican turut beramah mesra dengan penerima sumbangan tersebut.

Ketika diminta mengulas berhubung penganalisis politik mendakwa UMNO sukar meraih sokongan orang Melayu pada PRN nanti, Reezal Merican berkata, gerak kerja masih diteruskan meskipun telahan dibuat pihak luar.

“Saya tak nak kita terlalu tenggelam dengan pandangan penganalisis kerana sesuatu analisa itu tidak semestinya memberi gambaran secara keseluruhan dan ia boleh berubah pada bila-bila masa.

“Kalau kita lihat di Kepala Batas, saya kalah tapi masih ramai yang datang beri sambutan,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu. – MalaysiaGazette