Juhar Mahiruddin menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada salah seorang pelajar UMS

KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R. M. Jasni meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Iftar Perdana @UMS yang diadakan di Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Juhar yang juga merupakan Canselor UMS bersama-sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menyaksikan penyampaian sumbangan zakat
berjumlah RM34,500 oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada UMS.

Sumbangan zakat tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Agihan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Ustaz Saffruddin Manshuruddin kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Juhar turut menyaksikan acara penyerahan zakat wakalah Bank Islam Berhad berjumlah RM40,000 kepada UMS yang disampaikan oleh Pengarah Bank Islam Negeri Sabah, Nona
Baria Sarudin.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada wakil pelajar dan wakil kakitangan UMS yang layak.

Sejumlah 1,198 pelajar dan 24 orang kakitangan UMS layak menerima agihan zakat tersebut, dengan bantuan zakat pelajar daripada golongan asnaf merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, yuran asrama, dan bantuan untuk menjalani latihan industri. – MalaysiaGazette