KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu kanak-kanak yang ditahan di depot tahanan imigresen.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari situ adalah wajar dan selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Kami berpendapat sudah sampai masanya dirangka suatu kaedah alternatif kepada penahanan pendatang asing (migran) di depot tahanan imigresen. Di dunia sekarang jutaan wanita dan kanak-kanak diletak dalam tahanan disebabkan status migran mereka.
“Pakar dunia menyarankan agar perlu dirangka cara lain untuk menamatkan penahanan migran terutama dalam keadaan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
“Sangat penting nasib migran, pemohon suaka, pelarian dan individu tanpa kewarganegaraan diberi perhatian. Tidak wajar kerana status mereka sebagai migran, mereka dinafikan banyak hak asasi manusia.
“Sewajarnya kaedah penyelesaian memberi penempatan bukan tahana nsantunan berasaskan komuniti dilaksanakan kerana sekarang banyak negara telah berjanji di bawah Global Compact for Safe, Orderly and Regular Migration,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azmi, mereka tidak boleh dilayan sebagai penjenayah hanya kerana melintas sempadan secara tidak sah atau kerana dokumen yang tidak lengkap.
Selain itu, penahanan beramai-ramai tidak sepatutnya dianggap langkah biasa dibawah pengawalan imigresen.
“Kami sangat prihatin terhadap nasib 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.
“Mengikut data KDN daripada jumlah berkenaan, 351 kanak -kanak mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga.
“Kami berpendapat akses kesihatan dan pendidikan untuk kanak-kanak adalah antara isu utama yang perlu diberi perhatian.
“Adalah penting sementara dalam tahanan dan sebelum dikeluarkan dari depot, kanak – kanak tersebut tidak terlepas dari peluang mendapat pendidikan asas.
“Lima Depot Tahanan Imigresen yang mengadakan kelas untuk mereka sangat dialu-alukan dan jika boleh, pihak berkuasa melihat bagaimana libat urus badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu,” ujarnya.
Katanya, sejak 1990, banyak negara mengguna kaedah penahanan imigresen walaupun peraturan penahanan secara arbitrari tidak boleh berubah dibawah undang-undang antarabangsa yang lazim.
Susulan itu, MAPIM mengusulkan supaya peraturan penahanan imigresen ke atas kanak-kanak dan migran yang lain perlu dihapuskan segera.
Langkah alternatif perlu dirangka yang boleh melindungi maruah, kemanusiaan, kesihatan dan kesejahteraan insan malah dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan kerajaan untuk menyelengara fasilti pusat tahanan.
“Perlu diingatkan bahawa penahanan di bawah hukum hak manusia antarabangsa tidak boleh dilaksanakan secara diskriminatif dan langkah penahanan seharusnya menjadi pilihan terakhir.
“Penahanan kanak-kanak atas alasan individu atau berkait dengan status ibu bapa yang migran, tidak sama sekali dikawal di bawah prinsip pengecualian dan tidak menyebelahi kepentingan kanak-kanak yang ditahan.
“Oleh itu ia adalah bertentangan degan undang-undang hak manusia antarabangsa. Kesan mental , tekanan dan trauma kepada kanak-kanak migran adalah risiko yang terpaksa ditanggung akibat tahanan di depot inigresen.
“Dalam sistem keadilan jenayah, seperti jaminan, tahanan di rumah, atau menghadkan pergerakkan termasuk pengawasan elektronik dan lapor diri kepada pihak autoriti secara berkala tidak seharusnya diguna dalam konteks imigresen,” jelasnya. – MalaysiaGazette