PUTRAJAYA – Minggu Latihan Kebangsaan (NTW2023) secara besar-besaran akan dilancarkan Kementerian Sumber Manusia bagi menghimpunkan pelbagai pihak, organisasi serta individu untuk mewujudkan peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, kementeriannya menyasarkan untuk menarik lebih 5,000 jurulatih dan kolaborasi yang akan menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan.
“Program ini akan melatih sehingga 125,000 peserta termasuk kanak-kanak dari peringkat pra-sekolah sehinggalah warga emas, merekodkan lebih 500,000 jam latihan dan menyampaikan lebih RM250 juta dalam nilai latihan,” katanya dalam majlis pra pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan 2023 hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jelas Sivakumar, bagi memastikan keberkesanan usaha NTW dapat dicapai dengan meluas, NTW2023 akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
“Kita berharap NTW2023 akan menjadi pemangkin utama untuk memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya masyarakat Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kementerian Pengajian Tinggi yang turut mengambil bahagian dalam NTW2023 turut mengumumkan pihaknya pula akan menawarkan kursus secara percuma.
“Sepanjang tempoh NWT nanti, politeknik dan kolej-kolej komuniti di bawah KPT di seluruh negara akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendeknya secara percuma kepada semua yang berminat.
“Justeru, saya mengambil kesempatan in untuk menyeru malah menggesa semua graduan, tenaga kerja dan sesiapa sahaja di luar sana untuk merebut peluang keemasan ini,” kata Mohamed Khaled dalam acara sama hari ini.
Beliau berkata, isu pengangguran dan ketidakpadanan kelayakan dengan pekerjaan dan gaji adalah isu nasional dan bukannya terletak di bahu KPT sahaja.
Jelas Mohamed Khaled, penyelesaian isu ini mesti menjadi misi nasional yang diuruskan bersama-sama oleh semua pihak.
“Sebab itulah kerjasama rentas kementerian seperti ini sangat kritikal. Kita sudah tidak boleh bekerja in silo dan bersendirian,” katanya lagi.
NTW2023 bakal berlangsung dari 22 hingga 28 Mei depan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan latihan serta bagi memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette