KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kesal dengan kata-kata sinis yang menuduh partinya sebagai tempat politik cari makan dan mahukan jawatan.
Menurut beliau, Pas secara khusus paling kerap menjadi sasaran dan sesiapa yang menyertai parti itu akan dihentam habis-habisan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagi pihak terbabit, parti yang bercirikan agama paling tidak munasabah untuk menjadi tempat mencari makan.
“Walaupun tawarannya tidak mengutamakan kebendaan tetapi hanya menginginkan pahala daripada Allah SWT, dituduh juga ingin mencari makan.
“Sekalipun bersama Pas ini menyebabkan lebih banyak halangan untuk mencari makan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi menambah, kata-kata sinis itu sering diucapkan oleh masyarakat umum tanpa pengetahuan yang mendalam.
Beliau memberitahu, hal tersebut menunjukkan kejahilan mereka terhadap perkara besar dalam Islam dan kata-kata begini sentiasa diulang dalam sejarah sejak perjuangan para rasul a.s.
“Oleh kerana ramai para rasul terpaksa bekerja untuk mencari makan dan berjuang, musuh telah memberikan tawaran kemewahan kepada para rasul untuk kemudahan hidup mereka.
“Dengan syarat para rasul itu hendaklah menolak petunjuk Allah, lalu diganti dengan yang lain mengikut kemahuan mereka,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, sebenarnya, itulah politik mereka yang tidak bertanggungjawab dalam menunaikan amanah Allah SWT. – MalaysiaGazette
Udah2 la tu.. yg seangkatan pun dh lama berundur. Mau sampai bila ntah?