Calon Perkatan Harapanl P.107 Sungai Buloh, Datuk R Ramanan menyantuni penduduk setempat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Melayu Subang,Sungai Buloh. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ramanan yang juga  Timbalan Ketua Penerangan PKR itu difahamkan sudah mendapat mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ramanan ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan beliau akan mengadakan mesyuarat pertama bersama-sama empat lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) yang baru dilantik dalam agensi tersebut.

“Esok, selepas mesyuarat kita akan adakan sidang media di pejabat MITRA di Putrajaya, kita akan maklumkan hala tuju dan perancangan,” katanya ringkas.

Difahamkan, AJK lantikan itu pula dibarisi oleh pimpinan masyarakat India pelbagai parti termasuk MIC, PKR, DAP.

Mereka ialah Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivarrajh, Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau, Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran dan Ketua Pengarah MITRA, K. Raveendran Nair.

Untuk makluman, MITRA sebelum dijenamakan semula merupakan inisiatif bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan nama Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) pada tahun 2013.

Dari awal lagi objektif utama penubuhan unit ini ialah untuk memperkasakan komuniti India di negara ini terutamanya golongan berpendapatan rendah dan B40 di negara ini yang mendapat ratusan juta ringgit saban tahun.

Selepas kekalahan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018, ia telah ditukar nama dan mula dikenali sebagai MITRA oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketika era Datuk Seri Ismail Sabri menerajui negara sebagai Perdana Menteri, beliau meletakkan unit tersebut di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri selain ketika itu kerajaan juga meluluskan penubuhan Yayasan MITRA.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, MITRA seperti tidak sunyi dengan pelbagai dakwaan skandal penyelwengan malah ada dalam kalangan mereka terlibat didakwa di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast