Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas unit transformasi masyarakat India Malaysia Jabatan Perdana Menteri Bil.1/2023 di Kompleks D,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 19 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R Ramanan komited dan fokus dalam memastikan kepentingan serta pemerkasaan komuniti India menjadi keutamaan agensi itu.

Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas yang baru ditubuhkan ini berikrar untuk ‘membersihkan’ imej agensi itu yang telah terpalit dengan pelbagai penyewelengan berjuta-juta ringgit dana dikhaskan untuk masyarakat India sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam satu sidang media khas di sini, Ramanan mendedahkan, jawatankuasa petugas ini yang dibarisi oleh tiga Ahli Parlimen dan satu Ahli Dewan Negara telah mendapat restu dan dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan dana sebanyak RM100 juta digunakan sebaik mungkin.

“Saya ingin membuat beberapa pengumuman penting tapi sebelum itu saya perlu maklumkan anda semua ini adalah mesyuarat pertama kami. Banyak lagi yang perlu kami teliti, kaji dan buat keputusan yang bawa impak positif kepada masyarakat India di negara ini.

“Sememangnya sebelum ini ada banyak isu dan dakwaan, untuk itu kita telah memohon supaya satu proses audit dilakukan bagi pemberian dana-dana sebelum ini. Saya tidak berminat langsung untuk ‘witch hunt’ atau cari pesalah, biar sahaja ada proses audit, kita serahkan kepada Audit Negara untuk lakukan proses ini.

“Kita hendak maju ke hadapan dan bukan lagi bercakap tentang perkara-perkara lepas lagi, jika sibuk buru pesalah sahaja bermakna objektif utama untuk majukan, perkasakan komuniti kita tinggal begitu sahaja. Perdana Menteri hanya berpesan satu sahaja, semua rakyat di negara ini perlu diperkasakan.

“Saya maklum dengan imej MITRA yang tercalar sejak beberapa tahun kebelakangan, masyarakat begitu bimbang dan tidak selesa dengan pelbagai dakwaan dan skandal tetapi ingin saya tegaskan, perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi kerana semuanya akan dilakukan secara telus dan tranparent selepas ini

“Jawatankuasa juga ada berbincang tentang sedikit rombakan dan perubahan selain menambah lagi petugas-petugas dalam masa terdekat, apa-apa berkaitan tentang perkara ini kita akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Petugas MITRA di sini hari ini.

Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas unit transformasi masyarakat India Malaysia Jabatan Perdana Menteri Bil.1/2023 di Kompleks D,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 19 APRIL 2023.

Dalam pada itu, Ramanan juga membuat pengumuman tarikh akhir bagi permohonan geran MITRA yang sepatutnya berakhir pada 28 April ini akan dipanjangkan sehingga 28 Mei ini.

“Ramai yang tidak tahu, kita mohon kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil peluang ini memohon geran MITRA ini. Rebut peluang ini sebaik mungkin.

“Tidak seperti sebelum-sebelum ini, semua maklumat berkaitan permohonan dan pemohon akan terpamer dalam laman web MITRA, kita hendak telus dan kita akan pastikan semua yang terlibat juga bertanggungjawab dengan dana masyarakat India ini,” ujarnya.

Untuk makluman juga, MITRA sebelum dijenamakan semula merupakan inisiatif bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan nama Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) pada tahun 2013.

Dari awal lagi objektif utama penubuhan unit ini ialah untuk memperkasakan komuniti India di negara ini terutamanya golongan berpendapatan rendah dan B40 di negara ini yang mendapat ratusan juta ringgit saban tahun.

Selepas kekalahan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018, ianya telah ditukar nama dan mula dikenali sebagai MITRA oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast