Sivakumar berehat
Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar diminta berehat sementara waktu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes rasuah kuota pekerja asing sehingga ia selesai.

Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, langkah itu perlu diambil agar kes yang melibatkan pembantu Sivakumar serta Kementerian Sumber Manusia tidak menjejaskan imej, reputasi dan kewibawaan Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, kes rasuah tersebut yang membabitkan nilai suapan beberapa juta ringgit serta seorang pembantu kanan menteri telah menggugat keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan serta anggota-anggota Kabinetnya.

“Sebagai salah satu komponen penting kepada Kerajaan Perpaduan, Sivakumar dan partinya, DAP harus sedar bahawa reputasi Kerajaan Perpaduan berkait rapat dengan prestasi mereka.

“Mutu kerja serta integriti semua menteri dan ahli Parlimen DAP secara langsung akan mempengaruhi reputasi serta keyakinan orang ramai terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan, Sivakumar hadir ke pejabat SPRM bagi melengkapkan siasatan selepas badan penguatkuasa itu menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut, minggu lalu.

Artikel berkaitan: MGNews: Sivakumar Ulangi Janji Akan Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM

Sivakumar nafi kediamannya digeledah SPRM

SPRM geledah pejabat, kediaman Sivakumar?

Sivakumar hadir ke SPRM berhubung penahanan dua pembantu

Sebelum itu, Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, pegawai Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada keperluan untuk Sivakumar mengambil cuti daripada menjalankan tugasnya sebagai Menteri Sumber Manusia kerana beliau bukan suspek dalam kes terbabit.

Yew Chuan menambah, DAP sepatutnya memberi nasihat atau arahan kepada Sivakumar untuk berehat bagi menunjukkan kebertanggungjawabannya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau menegaskan, sebelum ini, tindakan Kerajaan Perpaduan melantik pemimpin yang terlibat rasuah sebagai menteri telah menimbulkan pelbagai kontroversi dan persoalan, sekali gus menyebabkan ia sentiasa dipertikaikan.

“Justeru, bagi mengelakkan Kerajaan Perpaduan daripada dirosak atau dipertikaikan secara berterusan, Sivakumar perlu berehat daripada tugasan rasminya sepanjang siasatan SPRM dan polis terhadapnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan PERBANDUAN ni mana ada tanggungjawab, jika dia BUKAN anggota kerajaan PASTI berguling-guling menyalak suruh Menteri tu LETAK JAWATAN bukan BERCUTI. Fakta sejarah kan dah ada…..
    MCA ni nampak Masih KENTAL CONSISTENT sifat bertanggungjawab dan MORAL. UMNO ada ke macam MCA? Jangan kata Menteri yang jaga HASIL POCKET MKT UMNO pun NYOROK BERDIAM DIRI apalagi akarumbi kan kan kan

Comments are closed.