pengeluaran KWSP
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan isu politik.

Menurut beliau, isu tersebut tidak perlu dipolitikkan dan kepentingan rakyat mesti diletakkan di kedudukan atas.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menambah, semua pihak perlu rasional dan melihat kepada realiti tekanan ekonomi yang semakin menghimpit.

“Kita mesti mengambil pandangan rakyat yang terkesan oleh situasi semasa.

“Aidilfitri nak dekat, hilang pekerjaan, nak bayar bil eleltrik, ansuran kenderaan, ansuran rumah, nak bayar bil rawatan kesihatan dan paling penting, mereka terdesak nak beli makanan harian untuk dimakan setiap hari,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Berbeza dengan dua pentadbiran sebelum ini, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Sebaliknya, pencarum boleh memilih untuk membuat pinjaman daripada institusi kewangan dengan mencagarkan wang simpanan KWSP mereka.

Wan Saiful memberitahu, atas sebab itu beliau konsisten memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar sejak lebih setahun lalu.

Malah, katanya, beliau telah terlibat dalam gerakan massa tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast