KUALA LUMPUR – Penyanyi Shiha Zikir mengakui bukan mudah untuk memujuk ibunya Rohana Ibrahim terlibat dalam video muzik terbarunya Jom Balik Raya nyanyian bersama kakaknya, Ieda Zikir.
Namun, demi memenuhi permintaan anak, Rohana akhirnya bersetuju untuk berlakon dalam video muzik lagu raya itu.
“Alhamdulillah, memang tidak mudah nak pujuk emak. Setelah pujuk banyak kali, saya teruja sangat bila emak cakap setuju.
“Dari dulu lagi,emak sentiasa bersama saya ke mana pun ada persembahan. Namun, dia memang tidak mahu terlibat, hanya menyokong dari belakang.
“Namun untuk lagu Jom Balik Raya ini saya berduet dengan kakak Ieda Zikir, jadi kami terus ajak emak masuk sekali dalam video muzik.
“Selama ini doa emak yang mengiringi kehidupan dan kerjaya saya, siapalah Shiha Zikir ini tanpa doa emak. Jadi, penglibatan mak dalam video muzik ini adalah kenangan indah sepanjang saya jadi penyanyi,” ujarnya.
Shiha ditemui pada Majlis Iftar Anjuran Yayasan Prihatin (PRIHATIN) Nasional Bersama Media yang turut disokong oleh syarikatnya Shiha Zikir Empire di Courtyard by Marriot Hotel, Setia Alam baru-baru.
Dalam majlis tersebut turut dilancarkan lagu dan video muzik Jom Balik Raya dengan kerjasama PRIHATIN.
Shiha menambab, dia bersyukur abila PRIHATIN juga bersetuju membantu dalam penghasilan video klip itu untuk rasa semangat tidak sabar pulang ke kampung kepada pendengar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha murni mana-mana pihak yang sudi berkerjasama dalam apa jua program.
“Shiha Zikir merupakan antara selebriti yang selalu bersama menyokong malah turun padang membantu program kemasyarakatan bersama PRIHATIN, jadi apabila diberitahu dia akan merakamkan sebuah lagu raya untuk tahun ini, maka kami berbesar hati untuk berkolaborasi.
“PRIHATIN berkolaborasi dalam bentuk tenaga kerja dan dalam masa sama, kami turut mempromosi yayasan ini sebagai sebuah pihak dalam membantu bukan sahaja para pelajar dan asnaf yang memerlukan.
“Tetapi juga kepada masyarakat luar bandar selari tema video lagu raya ini yang mengajak orang ramai pulang beraya ke kampung” jelasnya yang mengajak orang ramai menonton video muzik Jom Balik Raya di saluran YouTube,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiw, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Pengerusi KOPENA, Datuk Abdul Malik Abdullah serta rakan-rakan strategik lain. – MalaysiaGazette