Anggota bomba memadamkan api dalam kejadian kebakaran membabitkan lima kediaman di Jalan 18, Kampung Baru Salak Selatan, di sini, pada 24 Mac 2023. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR, – Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menyelamatkan aset bernilai RM52 juta dalam insiden kebakaran bagi tempoh Januari hingga 11 April lepas.

Pengarahnya Hamdan Ali berkata, ia membabitkan RM21.9 juta aset yang diselamatkan pada Januari, RM15.4 juta bagi Februari, RM12.1 juta sepanjang Mac dan RM2.6 juta setakat 11 April 2023.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sejumlah RM8.1 juta kerugian harta benda termasuk bangunan dan kenderaan direkodkan akibat dijilat api.

Menurutnya, pihak bomba menerima 419 panggilan melibatkan kebakaran dan 809 panggilan bagi kes penyelamatan.

“Sepanjang tempoh ini juga, 28 mangsa terlibat dalam kebakaran dengan bomba berjaya menyelamatkan 23 mangsa, empat mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia,” katanya kepada Bernama.

Hamdan juga berkata, sejumlah 330 mangsa diselamatkan dalam kerja-kerja penyelamatan antaranya bagi kes kemalangan kenderaan dan kejadian banjir.

Beliau berkata, sejumlah 26 mangsa pula maut manakala 66 mengalami kecederaan dalam kes-kes berkenaan.

Katanya, secara keseluruhan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima sejumlah 1,234 panggilan kecemasan dalam tempoh hampir empat bulan tahun ini dengan dua daripadanya adalah panggilan palsu. – BERNAMA