Statistik hari pertama kes kemalangan Op Selamat 20 sempena Aidilfitri 2023 oleh JSPT Bukit Aman semalam. Ihsan JSPT Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,964 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada hari pertama penguatkuasaan Op Selamat 20 semalam.

Op Selamat 20 diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara esok.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,486 kenderaan dikesan terlibat dalam kemalangan di seluruh negara.

“Mengikut pecahan jenis kenderaan, kereta mendahului carta kali ini apabila mencatatkan angka tertinggi kemalangan iaitu sebanyak 1,704 buah atau 68.54 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan pada hari tersebut.

“Ia diikuti kenderaan pacuan empat roda (206 kes kemalangan), motosikal (279 kes), 150 kes kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV), lori (91), van (44), bas (10) dan dua kes kemalangan melibatkan teksi,” kata JSPT dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani melancarkan Op Selamat 20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 bermula 20 hingga 27 April ini.

Dalam pelancaran yang disempurnakan secara maya itu, Acryl memaklumkan operasi yang akan dilaksanakan selama lapan hari itu akan dijalankan oleh JSPT dengan tema ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’.

Fokus utama Op Selamat 20 kali ini sempena 1 Syawal adalah memastikan kelancaran aliran trafik, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

“PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan memfokuskan pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah.

“Malah semua elemen melibatkan MPV, URB serta rondaan bit akan digerakkan di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai,” tegasnya.-MalaysiaGazette