Lokasi berlaku kemalangan menyaksikan seorang penunggang motosikal melanggar kanak-kanak berusia lima tahun yang maut semasa melintas jalan raya dalam kejadian semalam. Ihsan IPD Sepang

KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mencari saksi kemalangan langgar lari membabitkan sebuah motosikal yang mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia di Jalan Putra Perdana berhampiran Uptown Puchong, Sepang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tragedi kira-kira jam 2 pagi semalam berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan bersama ibu dan bapanya.

“Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bersama ibu dan ayah serta seorang pejalan kaki dari Uptown Puchong ingin melintas jalan ke seberang untuk pergi tempat letak kenderaan.

“Ketika itu, mangsa dipercayai dipimpin oleh ayahnya untuk melintas jalan dan tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah Puchong menghala ke Taman Putra Perdana dan melanggar mangsa sehingga tercampak di atas jalan.

“Penunggang motosikal itu bagaimanapun panik dan melarikan diri selepas dia menyedari telah melanggar mangsa kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kanak-kanak itu telah dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan di unit kecemasan namun mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital itu.

“Punca mangsa meninggal dunia disebabkan oleh kecederaan teruk di kepala dalam nahas tersebut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan penunggang motosikal itu sedang diburu.

Berikutan itu, polis meminta kerjasama pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan itu menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Sepang, Inspektor Wellington di talian 019-4848432 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette