KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ditempelak berikutan kenyataan beliau bahawa parti itu tidak boleh masuk ke ‘dapur masakan DAP’ walaupun bertukar tukang masak atau diambil chef beragama Islam.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P. Ramasamy berkata, Ahli Parlimen Marang itu seolah-olah lupa bahawa Pas pernah bersama DAP selama tujuh tahun.
“Sungguh melucukan kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bahawa walaupun DAP melantik seorang chef Muslim, parti itu tidak akan pernah masuk ke dapurnya.
“Namun begitu, Hadi mudah lupa, mungkin disebabkan kesilapan ingatannya, antara April 2008 dan sehingga Jun 2015, ketika Pakatan Rakyat wujud, Pas tidak mempunyai masalah untuk memasuki dapur DAP.
“Pada masa itu, tidak ada bezanya sama ada chef itu beragama Islam atau tidak,” sindir Ramasamy.
Timbalan Menteri II Pulau Pinang itu menyifatkan Abdul Hadi sebagai ‘ketua artitek’ permusuhan antara DAP dan Pas.
Menurut Ramasamy, sekiranya Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup permusuhan antara kedua-dua parti tidak akan berlaku.
Ramasamy berkata, Abdul Hadi pernah menuduh DAP bersimpati terhadap Parti Komunis Malaya (PKM) yang sudah tidak wujud serta menuduh DAP menyokong idea membawa balik mayat ketua PKM Chin Peng dari Thailand.
Tuduhan terbaharu, Abdul Hadi menyifatkan DAP sebagai parti licik dan cuba berselindung di sebalik Perlembagaan untuk mempromosikan prinsip sekularisme walaupun pada hakikatnya Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak lagi memandang serius pandangan Hadi.
“Kenyataan-kenyataan ini terutamanya terhadap DAP tidak masuk akal tetapi lebih mencerminkan pandangan perkauman dan agamanya yang melampau.
“Walaupun Hadi sentiasa bersedia untuk menerkam kenyataan dan pandangan umum DAP, tetapi sikap berdiam diri mengenai rasuah dan pengubahan wang haram dalam gabungan PN agak memekakkan telinga,” kata Ramasamy.
Pada 21 April lalu, media melaporkan, Abdul Hadi berkata, Pas tidak boleh dimasukkan ke dalam ‘dapur masakan’ DAP yang ada bersamanya makanan tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.
Abdul Hadi juga berkata, Pas bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang suatu ketika dahulu berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.-MalaysiaGazette
RAMASAMY cakap betul Rakyat jangan memandang serious percakapan TGHA.
Tetapi tibalah masanya RAKYAT memandang SERIOUS dan BERHATI-HATI bahayanya PERCAKAPAN RAMASAMY mengatur teliti gerakan DAP. PRN kelak PH dan ..NODAP(perkahwinan party diumumkan President Wak Welanon semasa PAU) akan dicuci RAKYAT yang menuntut kebenaran