BUTTERWORTH – Seorang anggota polis dari Balai Polis Butterworth cedera dan masih menerima rawatan di hospital selepas menjadi mangsa langgar lari di Jalan Bagan Dalam di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian 7.55 pagi itu, anggota berkenaan dari arah Bagan Luar menghala ke arah Bagan Dalam sedang membuat pemantauan di kawasan terbabit.
“Siasatan mendapati motosikal yang tidak diketahui nombor pendaftaran itu telah bergesel dengan motosikal ditunggang anggota polis hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.
“Penunggang motosikal tersebut telah melarikan diri.
“Anggota polis itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Siti Nor Salawati, pihaknya kini sedang giat mengesan penunggang motosikal berkenaan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04 575 9122,” katanya. – MalaysiaGazette