ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Tempoh reman ke atas seorang pengurus majlis dan pegawai pemasaran Festival Hoorat X Fest Raya yang ditahan bagi membantu siasatan penganjuran acara itu telah disambung lagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis berjaya mendapatkan perintah sambung reman selama sehari lagi ke atas kedua-dua individu yang  berusia 74 dan 43 tahun.

“Pagi tadi, reman kepada suspek keempat dan kelima telah disambung selama sehari lagi sehingga 25 April ini untuk membantu polis.

“Kertas siasatan kes ini telah hampir lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus, Pegawai Pemasaran Hooray X Fest Raya ditahan

Pengarah syarikat antara 3 ditahan kes anjur Festival Hooray X Fest Raya

Semalam, Noor Dellhan mengesahkan tentang tangkapan reman ke atas Pengurus Majlis dan Pegawai Pemasaran Festival Hooray X Fest Raya itu sejak 21 April lalu dan direman empat hari dalam membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, kedua-dua mereka merupakan suspek terbaharu dalam kes berkenaan selepas tiga orang individu termasuk dua wanita telah ditahan awal minggu ini bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

“Manakala tiga suspek awal iaitu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki yang ditahan reman dua hari sehingga 21 April lalu telahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan mereka dalam kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette