Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kebimbangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap keputusan kerajaan memberi subsidi berpuluh juta ringgit bagi tol percuma pada Aidilfitri seolah-olah mengerti apa yang dikatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan berkata, jumlah yang dibelanjakan itu telah menyebabkan rakyat Sarawak dan Sabah terkedu.

Ini kerana faedah itu hanya dinikmati oleh penduduk di Semenanjung Malaysia sahaja.

Menurut aktivis sosial Lim Sian See, Najib juga menyuarakan kebimbangan pada tahun 2020 apabila Kerajaan Pakatan Harapan melanjutkan tempoh konsesi dari 2038 kepada 2058 walaupun memberikan diskaun 18 peratus.

Najib mendakwa skim baru itu akhirnya akan menyebabkan keseluruhan penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ‘memberi subsidi’ tol tahunan kepada kerajaan dan pengguna jalan raya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah menghalang kenaikan tol dengan membayar pampasan tahunan kepada KWSP dan Khazanah Nasional Berhad.

Tindakan itu dibuat supaya pencarum KWSP tidak terkesan dengan langkah tersebut.

“Syed Saddiq ini akhirnya faham mengapa Najib mempersoalkan tentang mengambil wang KWSP untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18% pada zaman PH.

“Pada masa itu, Saddiq tidak pernah mengatakan apa-apa tentang 18% ini tidak memberi manfaat kepada rakyat di Sabah dan Sarawak juga,” kata Sian See.

Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan berkata, pelajar di Sabah dan Sarawak khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah juga perlu diberikan subsidi supaya mereka boleh pulang ke tanah air sepanjang tempoh cuti.

“Isu ini timbul apabila perdana menteri mengumumkan subsidi tol selama empat hari diberikan kepada semua pengguna jalan raya. Tetapi hakikatnya hampir semua, jika tidak semua, daripada mereka (berfaedah) berada di Semenanjung Malaysia. Dan jumlah kos subsidi adalah kira-kira RM93 juta,” kata Syed Saddiq seperti dilaporkan The Borneo Post.

“Apabila pengumuman itu dibuat, ramai rakyat Sabah dan Sarawak berkongsi kebimbangan mereka, iaitu walaupun subsidi tol dialu-alukan, kerajaan juga harus melihat keadaan mereka dan membantu mengurangkan kos tiket penerbangan supaya mereka dapat bersatu semula dengan keluarga mereka.

“Ini khas untuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah. Ini adalah pelajar yang hanya boleh terbang pulang untuk melihat keluarga mereka sekali atau dua kali setahun, atau mereka yang berasal dari keluarga B40 dan kelas pertengahan yang hanya boleh terbang balik sekali atau dua kali setahun.”

Pada 1 Februari 2020 Menteri Kewangan pada waktu itu Lim Guan Eng mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS).-MalaysiaGazette