Calon Perikatan Nasional N.24 Bembam, Dr. Mohd Yadzil Yaakob ketika temubual bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Media MG, Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Exco Kanan Melaka yang terpalit isu rasuah agar tampil membersihkan namanya segera.

Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, Exco tersebut perlu membuat laporan polis dan tindakan undang-undang termasuk ke atas wanita yang dikaitkan disebabkan video berkenaan telah tersebar dan tuduhan yang dilemparkan amat berat.

“Kes ini juga merupakan cabaran kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membuktikan kemampuannya mentadbir.

“Terpulang kepada beliau sama ada mahu kerajaan negeri pimpinannya bersih atau tercemar dengan tuduhan sedemikian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut melahirkan simpati terhadap Exco berkenaan, lebih-lebih lagi video terbabit tersebar ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Rakyat sedang menilai dan sesebuah kerajaan bukan sahaja mesti bersih tetapi perlu kelihatan bersih.

“Sebarang kompromi akan memperlihatkan Malaysia Madani hanyalah retorik kosong yang tidak membawa sebarang makna,” katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban berkata, sebagai sebuah gagasan yang memperjuangkan politik matang, fokus Perikatan Nasional adalah membangunkan negara secara konstruktif dan berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan menolak budaya politik menyerang peribadi pemimpin tertentu.

Semalam Ab Rauf tidak menafikan atau mengiyakan mengenai perkara itu namun menyifatkan fitnah yang berlaku pada ketika ini hadir daripada pelbagai bentuk.

Seorang exco Melaka dikatakan telah menghantar hantara di aplikasi Whatsapp dengan seorang wanita dengan menawarkan sejumlah wang bagi tujuan tidak baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast