Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas unit transformasi masyarakat India Malaysia Jabatan Perdana Menteri Bil.1/2023 di Kompleks D,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 19 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan melanjutkan tempoh permohonan geran kewangan bagi tahun 2023 kepada 28 Mei bulan depan.

Untuk makluman, sebelum ini tarikh tamat permohonan itupada hujung bulan ini.

Dalam satu kenyataan, MITRA berkata, keputusan ini juga selaras dengan pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan pada minggu lepas.

Permohonan akan dibuka sehingga 28 Mei 2023, Ahad pukul 5 petang secara dalam talian di laman Sistem Permohonan Geran Kewangan MITRA (SPGKM) iaitu https://spgkmitra.jpm.gov.my/.

“Pelanjutan tempoh permohonan ini adalah bagi tujuan memberi ruang kepada lebih banyak Organisasi yang layak untuk mengemukakan permohonan geran kewangan ini,” kata kenyataan itu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan

Sebelum ini, sejurus selepas Ramanan dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas, beliau telah membuat pengumuman akan ada pelanjutan bagi pemohon geran kewangan yang sama.

“Ramai yang tidak tahu, kita mohon kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil peluang ini memohon geran MITRA ini. Rebut peluang ini sebaik mungkin.

“Tidak seperti sebelum-sebelum ini, semua maklumat berkaitan permohonan dan pemohon akan terpamer dalam laman web MITRA, kita hendak telus dan kita akan pastikan semua yang terlibat juga bertanggungjawab dengan dana masyarakat India ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette