Mohd Zamri Abu Bakar

MELAKA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap dakwaan seorang Exco Kanan Melaka yang terpalit dengan rasuah seks.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SMM) Melaka, Mohd Zamri Abu Bakar berkata, ia selepas pihaknya membuat satu laporan SPRM apabila tuduhan itu didedahkan di akaun media sosial Facebook milik dua individu pada Selasa lalu.

Menurutnya, dakwaan itu memuat naik maklumat, gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan individu terbabit sehingga ia tular dalam kalangan masyarakat.

“Segala tuduhan yang dimuat menunjukkan Exco terbabit mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran sehingga RM15,000 sebulan.

“Pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar di mana wanita itu telah pun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’ nya dan watak yang dikatakan Exco Melaka itu berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Melaka di Alai, di sini, hari ini.

Tambahnya, tindakan itu menyalahi undang-undang dan Exco terbabit disyaki telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berupa layanan seks.

“Kita berharap SPRM juga akan memanggil dua individu yang membuat pendedahan itu selain harus segera menyiasat kedua-dua individu iaitu wanita dan Exco Melaka yang dikaitkan dengan tuduhan itu,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat SAMM. – MalaysiaGazette