Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para jemaah ketika hadir menunaikan solat jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Sungai Buloh, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan boleh tewas dalam pilihan raya di enam negeri jika menerima nasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang memaksa kerajaan untuk melaksanakan agenda pembaharuan dalam tempoh pendek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan hak asasi manusia itu sewajarnya lebih objektif dalam kritikan mereka terhadap kerajaan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, kumpulan itu perlu menyedari kerajaan bukan hanya berhadapan dengan kumpulan elit di ibu negara tetapi juga mewakili rakyat terbanyak.

“Dalam empat bulan (pemerintahan) kita tidak boleh membuat perubahan dalam undang-undang negara. Kalau saya ikut (nasihat mereka) kita akan kalah di semua pilihan raya negeri (PRN).

“Kita perlu mempertimbangkan, perlu memahami bahawa kita bukan berhadapan dengan ’40’ golongan elit di Kuala Lumpur sebaliknya dengan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Anwar diminta mengulas kritikan Suaram yang beliau akan dikenali sebagai perdana menteri yang paling teruk sekiranya gagal melaksanakan agenda reformasi untuk melindungi hak asasi manusia.

Anwar berkata, Suaram sepatutnya belajar daripada kesilapan kerajaan terdahulu dalam meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kita telah melihat kesilapan politik mengenai ICERD, kita mahu paksakan agenda itu, kita andaikan semua orang faham. Kamu tidak menerangkannya kepada masyarakat Melayu, kawasan luar bandar.

“Saya nasihatkan mereka untuk belajar daripada pengalaman ICERD. Ia adalah kesilapan politik. Bukan disebabkan undang-undang tetapi kerana ‘kesombongan kuasa’, mengandaikan semua orang menyokong kita.

“Tanpa kita mengambil langkah untuk menjelaskan kepada masyarakat. Jadi saya belajar daripada pengalaman itu,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata, pertubuhan itu sewajarnya memberikan masa kepada kerajaan untuk melakukan reformasi institusi.

Sebelum itu, Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dilaporkan mempersoalkan tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang zalim dan kuno di negara ini selepas lambat dalam memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia,

Sevan berkata, Suaram meletakkan harapan tinggi kepada Anwar, yang telah menjadi mangsa kezaliman polis dan penahanan tanpa bicara untuk melakukan sesuatu sekarang ketika mempunyai kuasa.- MalaysiaGazette