PONTIAN – Jemaah menteri harus mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada terdapat keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah atau sebaliknya susulan fenomena haba panas yang melanda negara sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara telah bermesyuarat dan melaksanakan usaha-usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian dan jabatan yang berkaitan.
Jelasnya lagi, iklim negara telah berubah dengan haba panas mula melanda terutamanya di Kelantan yang telah menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak.
“Saya fikir itu (pelanjutan cuti sekolah) harus dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri.
“Sebagai pengerusi jawatan kuasa bencana negara, kita telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan, bukan sahaja untuk memantau tetapi membantu mereka yang terkena strok disebabkan perubahan cuaca ini,” katanya.
Beliau berkata kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pontian di Benut hari ini.
Oleh itu Ahmad Zahid mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas sekarang.
Selain itu, beliau berkata, KKM juga telah mengambil beberapa langkah tertentu untuk mengatasi masalah yang timbul susulan fenomena berkenaan.
“Kita menasihatkan rakyat di kawasan-kawasan yang dilanda haba panas ini agar dapat minum air dengan lebih banyak tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa haba panas ini akan berakhir pada pertengahan Mei.
“Jadi saya berharap walaupun ini satu fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.
Sejak Rabu lalu, dua kematian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia setahun setengah dan kedua-duanya dipercayai akibat strok haba.- MalaysiaGazette