Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kelantan sememangnya berdepan masalah kotor dengan sampah akibat kelemahan tatakelola kerajaan negeri itu berbanding Pulau Pinang yang bersih di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Nasional (Amanah), Faiz Fadzil berkata, masalah itu juga dikaitkan dengan kedudukan Kelantan sebagai antara negeri termundur di Malaysia hasil kegagalan pentadbiran kerajaan Pas.

Tegas beliau, kerajaan negeri itu ternyata gagal memajukan ekonomi tempatan dan membasmi kemiskinan, selain turut berdepan isu alam sekitar yang kritikal.

“Bukan setahun dua masalah ini dibangkitkan, ianya berlarutan berdekad lamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Faiz bersetuju dengan pendapat Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang menyifatkan Kelantan sebagai negeri tidak membangun dan kotor.

Kenyataan itu dibalas Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Nawi yang mengutuk pandangan berkenaan sebagai tidak cermat dalam menyindir pembangunan di negeri bergelar Serambi Mekah itu.

Menurut Faiz, kenyataan balas pimpinan muda Pas Kelantan itu sangat tidak berasas dan buta fakta.

Beliau turut menyindir pentadbira Pas Kelantan yang lebih berminat membeli kereta Mercedes daripada menyelesaikan masalah air, membina stesen bas lebih baik dan selesa serta menangani isu alam sekitar akibat pembalakan yang berleluasa.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu lagi, selaku wakil rakyat di Pulau Pinang, beliau mengalu-alukan Mohd Firdaus dan kawannya daripada Pas membuat lawatan sambil belajar ke negeri itu.

“Georgetown misalnya, telah menerima anugerah bandar pelancongan bersih ASEAN pada 2022. Insya-Allah, ilmu pengurusan kebersihan daripada Georgetown akan membantu Kelantan ke arah pembangunan lebih bersih dan ‘madani’.

“Untuk rekod, di bawah pentadbiran PH, Pulau Pinang antara negeri terawal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak 2016 lagi.

“Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18 peratus, malah menjelang 2030, dijangka naik ke 70 peratus,” kata beliau.

Faiz berkata, data saintifik yang diperakui Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan air terawat di Pulau Pinang antara terbersih dan selamat.

Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan Pulau Pinang juga sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah, di mana kapasitinya dijangka meningkat sebanyak 569 juta liter sehari menjelang 2030.

“Pulau Pinang sedang menuju ke arah bekalan air mentah yang lebih mapan.

“Sektor ekonominya juga berkembang pesat dengan rekod pertumbuhan tertinggi dalam negara pada 2021 pada kadar 7.1 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Jelas beliau, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula meningkat kepada 7.1 peratus dan pada tahun sama juga, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaporkan Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM76.22 bilion yang dijangka menghasilkan 12,000 peluang pekerjaan.

Menurutnya, kejayaan Pulau Pinang memajukan ekonomi negeri itu menjadikan kehidupan rakyat sejahtera dan makmur.

“Di Pulau Pinang, kita tidak mendengar rungutan rakyat berkaitan air kotor, sampah tidak terurus ataupun mempunyai masalah peluang pekerjaan.

“Hasil daripada tadbir urus yang cekap ini, rakyat Pulau Pinang menerima pelbagai bantuan ketika pandemik Covid-19 dengan Pakej Bantuan Khas sebanyak RM176.45 juta dan bajet hal ehwal Islam meningkat saban tahun serta diperuntukkan sebanyak RM75.08 juta bagi tahun 2023.

“Walaupun Pulau Pinang sering difitnah dengan sentimen perkauman dan agama, hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik di sini dan Islam juga diamalkan serta berkembang dengan begitu baik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kelantan tidak akan berubah selagi diperintah oleh lebai yg tidak kompeten untuk memajukan ummah kalau sentiasa beretorik serta mementingkan tembolok. Bak kata pepatah melayu..SEPULUH JONG MASUK ANJING TETAP BERCAWAT EKOR dan selagi pemimpin mereka berprinsip JONG PECAH YU SAJA YG KENYANG

Comments are closed.