Datuk Razali Abu Samah

MELAKA – Polis Melaka tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan seorang exco kanan negeri ini yang terpalit isu rasuah seks seperti yang tular sejak Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, tiada laporan diterima daripada mangsa yang dituduh atau pun dibuat pihak lain mengenai perkara itu.

“Setakat tengah hari ini, tiada sebarang laporan polis dibuat membabitkan dakwaan itu dan saya boleh sahkan itu sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin menyifatkan dakwaan rasuah seks melibatkannya adalah untuk menjatuhkan karier politiknya kerana ia telah bermula ketika pemilihan UMNO Mac lalu.

Artikel berkaitan:

Walaupun tidak bercadang membuat laporan polis mengenai tuduhan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Dakwaan rasuah seks terhadap Rais itu tular sejak Selasa lalu di dua akaun media sosial termasuk bekas ahli UMNO yang memuat naik maklumat, gambar, cetakan skrin telefon dan video mengaitkan Rais dalam skandal itu. – MalaysiaGazette.