Ustaz Wadi Annuar Ayub

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mengesahkan beliau akan ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.

Pengesahan itu dibuat dalam satu kenyataan rasmi di Instagram miliknya hari ini.

“Saya Ustaz Mohamad Wadi Annuar bin Ayub dengan izin Allah Taala mengesahkan melalui barisan peguam saya untuk hadir pada 2 Mei 2023 ini ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

“Saya dipanggil berikutan program sembang santai yang saya hadiri di Jalan Abi Batas, Kangar baru-baru ini. Program ini dijalankan dan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Insya-Allah, saya akan memberikan kerjasama penuh sesuai dan selaras dengan kehendak dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Saya berdoa dan bermunajat agar siasatan akan berjalan dengan lancar, adil dan telus, melalui proses keadilan tanpa sebarang kacau ganggu, manipulasi atau tekanan dari mana-mana pihak terutama dari pihak-pihak yang sentiasa mencari salah dan silap dari saya dan mempunyai agenda tersendiri.

“Saya juga menggesa semua pihak yang tidak ada kaitan dengan JAIPS yang menjalankan siasatan ini, supaya menahan diri dari mencampuri urusan di luar bidang kuasa mereka yang telah ditetapkan.

“JAIPS sebagai badan kerajaan negeri sepatutnya bebas dan tidak wajar menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak. Semua proses undang-undang akan saya hormati.

“Saya menegaskan supaya hak saya untuk mendapatkan keadilan juga dihormati sepenuhnya. Sebarang bentuk provokasi yang tidak wajar, apatah lagi tangkapan yang tidak selari dengan peruntukan undang-undang akan kami susuli dengan tindakan wajar dan dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.

“Pihak saya sentiasa merujuk kepada nasihat barisan peguam dari masa ke masa mengenai perkembangan proses ini. Semoga Allah Taala menzahirkan kebenaran kepada semua. Kepada Allah saya berserah,” tulisnya.

Awal bulan ini, Ustaz Wadi Anuar menjelaskan situasi sebenar mengenai dakwaan beliau menyampaikan ceramah di Perlis tanpa tauliah sehingga dipanggil JAIPs untuk memberi keterangan.

Menerusi satu kenyaataan rasmi di Facebooknya, beliau memaklumkan acara yang dihadirinya di Kampung Abi Padang Machang, Perlis sebelum itu bukanlah majlis pengajian agama, sebaliknya acara santai bersama masyarakat setempat sahaja.

“Pada 30 Mac 2023 pukul lebih kurang 9.45 malam, saya Ustaz Mohamad Wadi Annuar menghadiri program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kampung Abi Padang Machang, Kangar Perlis.

“Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program ini bukan majlis pengajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaan saya, keadaan terkini ibadah umat Islam di Mekah dan Madinah dan beberapa kupasan isu semasa.

“Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian tersebut serta tidak memerlukan tauliah agama negeri,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Ustaz Wadi Annuar berkata, beliau tidak pernah dipelawa permohonan tauliah melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis seperti yang dinyatakan dalam sebahagian laporan akhbar dan saya belum pernah mengadakan perjumpaan bersama JAIPs seperti didakwa.

“Pada 29 Mac 2023, saya menerima surat perintah hadir siasatan oleh JAIPs bertarikh 7 April 2023. Disebabkan kekangan masa dan jadual program padat, saya sendiri memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan pada 17 April 2023 dan diterima pihak berkenaan.

“Saya juga menjunjung perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan tidak pernah mempersendakan peraturan yang dititahkan oleh baginda,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast