KUALA LUMPUR – Program Liga Usahawan Wanita Selangor yang julung kali diadakan khas untuk wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan asnaf dari seluruh Selangor bertujuan untuk membantu membangunkan taraf ekonomi hidup mereka.
Program dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) itu juga bermatlamat memperkasakan wanita menerusi pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan mampan melalui peluang perniagaan.
Penolong Pengarah Unit Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Intan Nur Aqiela Ismail berkata, program berimpak tinggi itu berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman serta geran dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.
“Tujuan utama program ini diadakan bagi membantu usahawan wanita terus maju dalam perniagaan mereka. Data mendapati terdapat ramai peniaga dalam kalangan wanita membuatkan pihaknya tampil dengan program khas membantu mereka.
“Kami berhasrat membantu wanita, terutama golongan B40, ibu tunggal dan asnaf supaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya selepas merasmikan Program Liga Usahawan Wanita Selangor di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Intan Nur Aqiela berkata, sebagai permulaan pihaknya memberikan bantuan RM100,000 kepada SAY untuk melaksanakan program perintis itu.
Beliau berkata, pihaknya akan melihat hasilnya dan jika memberangsangkan ia diperluaskan kepada golongan lain supaya semua pihak mendapat manfaat yang sama.
Sementara itu, Nurul Azwa berkata, menerusi fasa pertama program itu, 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan.
Katanya, daripada jumlah itu, 20 peserta dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor dan diakhiri dengan 10 peserta.
“Seramai 10 peserta itu kemudiannya diberi peluang untuk membuat pembentangan perniagaan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
“Jika berjaya, peserta bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor,” katanya.
Sebelum itu, Program Liga Usahawan Wanita Selango itu dimulakan dengan seminar bertajuk ‘Usahawan Wanita dalam Perniagaan: Peluang dan Cabaran’.
Panel seminar itu adalah Ketua Pegawai Operasi Women of Will (WOW), M Lakshwin; usahawan makanan yang mendapat latihan di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS), Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman dan usahawan yang menjalankan perniagaan urutan tradisional serta menjadi 10 peserta terakhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD), Siti Nabiha Zulmajdi. – MalaysiaGazette