Ahli Parlimen Ampang ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan kehadiran beberapa pemimpin terkenal Perikatan Nasional (PN) yang berminat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka pada Ogos nanti.

Bagaimanapun Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail berkata, PH sedia menentang sesiapa sahaja pemimpin PN dan akan memastikan mereka tumbang pada PRN nanti.

Menurut beliau, pemimpin seperti Datuk Seri Shahidan Kassim perlu sedar bahawa senario politik berbeza antara Perlis dan Selangor manakala bekas menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula mempunyai sejarah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor akhir tahun lalu.

“KJ (Khairy) pernah kalah di Sungai Buloh dan tidak mustahil dia boleh dikalahkan sekali lagi. Begitu juga dengan Shahidan kerana Perlis mungkin jauh berbeza dengan Selangor.

“Kalau dia berani datang Selangor dan selamat datang di mana kami juga berani lawan beliau semoga beliau akan kalah bertanding. Saya yakin rakyat tahu gerak kerja kami seperti saya di Ampang dan Menteri Besar di Gombak,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (tiga kanan) bersama Ahli Parlimen Ampang ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik.

Beliau diminta mengulas kenyataan Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding di Selangor dalam misi membantu PN menawan negeri itu.

Pada masa sama, Khairy juga dikatakan akan ditawarkan oleh PN bertanding di Selangor di bawah DUN Sungai Buloh dan bakal dinamakan calon Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, minat yang ditunjukkan oleh PN untuk meletakkan nama besar pemimpin di Selangor menunjukkan parti gabungan itu ingin mengambil jalan mudah.

Beliau yang ADUN Batu Tiga bagaimanapun berkata, PN tidak sedar bahawa Selangor bukan mudah untuk dirampas pada PRN nanti.

Ahli Parlimen Ampang ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

“Saya rasa mereka take for granted. Mereka ingat Selangor ini begitu mudah dirampas. Sebenarnya saya hendak bagi jaminan, Insya-Allah kami yakin Selangor akan kekal di bawah Pakatan Harapan.

“Kenapa? Sebab saya yakin di peringkat DUN kita sudah buat yang terbaik. Kami bertahan tiga penggal dan kami tidak ambil mudah. Kenapa mereka ingin datang ke Selangor? Itu menjadi persoalannya. Mungkin mereka rasa banyak peluang.

“Pada saya seperti yang sebut tadi, Selangor ini ada kelebihan kerana banyak industry walaupun ada kelemahan yang beri kita untuk tambah baik. Jadi kepada mereka, anda selamat datang. Tetapi akan kami akan berusaha kuat untuk memastikan PKR kekal di Selangor,” katanya.

Sementara itu, pada PRU15, Rodziah berjaya menewaskan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PH apabila  berjaya memperoleh undi sebanyak 56, 754 undi menewaskan lapan calon lain yang bertanding.

Zuraida selaku penyandang hanya memperoleh 4, 589 undi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast