Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang mengunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk kelebihan politik Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia dicerminkan dalam ucapan Saifuddin bahawa pihaknya akan meluluskan segera permohonan pembangkang di Kedah untuk sebarang program politik di negeri itu.

“Ini adalah satu lagi contoh betapa semangat reformasi sudah lenyap dari PH-Umno. Dulu mereka menjerit melaungkan pentingnya membebaskan institusi dari campurtangan politik. Tapi PH-Umno kini langsung tidak malu-malu memperalatkan institusi penguatkuasa untuk kepentingan politik mereka.

“Jika pihak polis boleh diberi arahan sesuka hati untuk agenda politik PH-Umno, apa jaminan yang boleh diberi kepada rakyat bahawa institusi penguatkuasa lain tidak diarah secara terpilih untuk tujuan yang sama?,” soal Wan Saiful dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memberikan respon terhadap video ucapan Saifuddin dalam Himpunan Madani Kedah 2023 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Alor Setar baru-baru ini.

Saifuddin dirakamkan berkata: “Permit polis jangan risau. Saya akan lulus segera. Tak ada masalah. Dulu kita ada masalah permit polis, la tak ada masalah. Kita akan suruh Dato Mahfuz atau Mahadzir Khalid angkat permohonan kepada Menteri Dalam Negeri. Insyallah kita lulus segera.”

Ucapan itu dipercayai merujuk kepada proses permohonan program politik di Kedah sempena Piihan Raya Negeri (PRN) negeri itu tidak lama lagi.

Jelas Wan Saiful lagi, langkah itu menunjukkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO sudah tidak lagi beriltizam untuk menjaga melindungi kebebasan institusi penguatkuasa.

“Sebaliknya kini PH-UMNO sedang rakus mempergunakan apa saja kuasa dan agensi secara terpilih demi kepentingan politik mereka. PH-Umno sudah hilang halatuju dan mereka bulan lagi pengibar reformasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast