Ab Rauf dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menggantikan Datuk Nur Azmi Ahmad yang mengetuai persatuan itu sejak Ogos tahun lalu.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) berkuatkuasa serta merta menggantikan penyandangnya, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu disahkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA di sini yang dipengerusikannya, semalam.

“Mengikut Perlembagaan MAFA pelantikan Ketua Menteri yang baharu secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan setinggi tahniah kepada Ab. Rauf yang akan menerajui MAFA demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan media dikeluarkan MAFA

Tambahnya, diharapkan dengan sentuhan Ketua Menteri yang baharu akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan pasukan gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA turut merakamkan ribuan terima kasih kepada Nur Azmi yang telah memimpin pasukan sejak Ogos tahun lalu dan telah mencurah bakti kepada sukan bola sepak Melaka.

“Antaranya telah menubuhkan Kelab Bola Sepak Melaka FC yang kini bersaing dalam Liga M3, di samping penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Tuan Yang Terutama (TYT) dan juga pembangunan akar umbi,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

 

1 Komen

  1. Sudah banyak menteri sukan bertukar ganti tapi tahap sukan bolasepak negara belum banyak berubah. Cubalah keluar dari kepompong berganyung pada orang politik dan kerajaan untuk pembiayaan sukan. Lihat betapa majua sukan bolasepak negara maju yang menjalankan industri sukan bolasepak. Komersilkan sukan inu dengan penglibatan total syarikat swasta
    .

Comments are closed.