Saifuddin berbincang dengan penduduk setempat bersama pemaju dan pihak-pihak lain di Batang Kali hari ini.

BATANG KALI – Penduduk Kampung Koskan Tambahan mendapat jaminan daripada pemaju, TA Global yang tidak akan melakukan kerja perobohan atau pemindahan sehingga 11 Mei ini.

Penduduk kampung tersebut telah diberikan notis Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan rumah yang sudah diduduki lebih 40 tahun di atas tanah rizab di Batang Kali, Hulu Selangor.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya telah berbincang dengan pemaju sebelum keputusan dicapai hari ini.

Kata Saifuddin, beliau dan Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali turun padang pada hari ini dan wakil penduduk serta pemaju sepakat perobohan dan pemindahan akan ditangguh sehingga 11 Mei ini.

Tambah pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor itu, Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali akan mencarikan rumah sewa untuk 12 keluarga yang terlibat.

“Pada masa sama, proses pembelian Rumah Selangorku seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan dibincangkan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) secepat mungkin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan terjejas apabila menerima notis pengusiran rumah sehari sebelum dan pagi Hari Raya Aidilfitri.

Saifuddin berkata, pemaju dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) setuju untuk menyambung semula bekalan elektrik yang dipotong untuk memberi laluan kepada kerja-kerja merobohkan enam buah rumah.

“Sekiranya terdapat perubahan pihak kami akan meminjamkan genset untuk kegunaan 12 buah rumah. Semoga penyelesaian menemui noktah yang lebih baik dan memuaskan hati semua pihak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast